Search This Blog

Monday, May 21, 2018

Tupai dan Pokok Tiin

Tupai dan Pokok Tiin

Botol air mineral yang diletak pewarna merah
Pada peringkat awal menanam pokok tiin, saya sering melihat tupai berkeliaran dikawasan rumah, malah ada yang kejar mengejar pasangan mereka secara yang amat romentik di kawasan sekitar pasu menanam pokok tiin. Sebagaimana yang tuan puan sedia maklum bahawa apabila buah tiin telah mula masak dengan berubah warna, kita tidak boleh terus memetiknya kerana ianya masih belum cukup manis.. Selalunya kita akan menunggu hari ke 3 atau hari ke 4 untuk memetiknya.. lagi lama kita biarkan didahan pokok, lagi manis buahnya.

Apabila ada buah tiin yang masak, selalunya saya yang akan berjaya memetiknya pada hari ke 4 sebelum si tupai berjaya mendapatkannya.  Tapi itu dulu.  Sekarang jangankan hari ke 4, hari pertama dan ke 2 pun dia dah rembat.  Tuan-tuan bayangkan dari 10 biji yang masak, saya tidak dapat memetik sebiji pun untuk dimakan.  Saya terpaksa berebut dengan tupai pulak sekarang ini.

Nak buat rumah perlindungan hujan (RPH), tidak mampu rasanya dan struktur geografi dalam kawasan rumah taman ni tidak sesuai untuk dinaikkan RPH.

Kawasan rumah taman yang berbukit.  Kelihatan botol-botol air merah diletakkan di keliling kawasan rumah.
Saya agak berbeza pendapat dengan orang-orang yang menyatakan eloklah berkongsi rezeki dengan tupai.  Dapat pahala gitew.  Saya berpendapat jika nak makan buah tiin yang saya tanam, silakan tapi tinggalkan lah sedikit untuk saya, jangan makan semua (ini isu yang tidak perlu diperpanjangkan disini). 

Saya mula memasang perangkap untuk menangkap tupai didalam kompaun rumah saya.  Setelah berjaya menangkap tupai yang ke 21, ya 21 tuan puan sekalian, (tupai yang ditangkap dibuang daerah ke hutan sekitar Putrajaya iaitu sejauh 34KM dari rumah saya).  Setelah putus asa kerana jumlah mereka sedikit pun tidak berkurangan, maka saya pun menghentikan operasi tersebut kerana tiap-tiap hari ada sahaja kelihatan tupai berkeliaran dalam kawasan rumah.

Saat itulah saya mula tidak memperdulikan pokok tiin saya dan membiarkan sahaja buah-buah masak dimakan oleh sang tupai yang rakus bermaharajalela.  Sehinggalah saya ada terbaca di dalam beberapa blog yang memberi cadangan untuk menghalang dan menakut-nakutkan tupai agar tidak memasuki kawasan rumah kita, dicadangkan agar diletakkan botol air yang diisi dengan warna merah (samada sirap atau pewarna).

Saya lihat dengan mata kepala saya sendiri tupai-tupai berkeliaran di luar rumah seolah-oleh tidak boleh masuk atau takut hendak masuk ke dalam kawasan. Saya letakkan ditempat-tempat strategik iaitu di kawasan laluan masuk mereka.  Alhamdulillah pada hari ini saya tidak perlu berebut dengan tupai lagi apabila buah tiin saya telah masak.  Malah setakat ini dari 10 buah tiin saya yang masak, saya dapat menikmati kesemua buah tiin tersebut.

Ada dalam 30 botol air berisi air merah yang diletak di kawasan rumah untuk menakut-nakutkan tupai.
Kini saya bebas untuk membiarkan buah tiin saya masak di dahan dan menunggu ia ranum pada hari ke 4 atau ke 5 dan syukur alhamdulillah saya dapat menikmati buah tiin yang termanis tahap potong kaki semenjak mula menanam pokok tiin 4 tahun yang lalu dengan aman dan tenteram.



Sunday, May 13, 2018

Hardening Anak Pokok Tiin

Hardening Anak Pokok Tiin

Hardening Anak Pokok Tiin Diletak Ditempat Teduh (Porch Kereta)
  1. Proses paling susah dalam penjagaan pokok tiin.
  2. Anak pokok sangat sensitif dengan suasana persekitaran dan jumlah pengcahayaan yang diterima.
  3. Banyak anak pokok tiin saya kiok semasa proses ini terutama apabila selepas menyemai anak benih keratan yang baru dibawa keluar dari kotak polistrin.
  4. Anak pokok tiin samada yang disemai dari keratan atau tut (air layering) perlu didedahkan kepada cahaya matahari secara berperingkat.  
  5. Ketika baru berpindah pasu atau ke atas tanah, ianya tidak boleh didedahkan sepenuhnya kepada cahaya matahari direct.
  6. Pendedahan kepada cahaya matahari secara berperingkat ini penting kepada survival anak pokok tiin agar dia tidak terkejut dengan perubahan cuaca dan persekitaran.
  7. Jika anak pokok tetiba layu, jangan panik dan gelabah! Apa yang anda perlu lakukan ialah menyiram pokok tersebut dan membuang daun yang telah kecut (lecur).
Daun anak pokok tiin layu dan ada yang melecur akibat pendedahan kepada cahaya yang terlalu banyak
Salah satu cara proses hardening kepada mereka yang menanam pokok tiin disekitar rumah.


Sunday, April 01, 2018

Menyemai Keratan Pokok Tiin (SIRI 2)

Menyemai Keratan Pokok Tiin (SIRI 2)



Pada SIRI 2 ini tuan / puan akan ditunjukkan cara menyemai keratan dengan lebih detail seperti berikut:-

Keratan dari spesis Brown Turkey

1.Kenalpasti dahulu bahagian atas dan bahagian bawah keratan. Bahagian tajam, menunjukkan atas keratan.
2. Rendam bahagian bawah keratan di dalam larutan penggalak akar & antikulat selama yg boleh. (Minimum 2 jam).

Contoh Penggalak Akar B1
3. Bahagian bawah keratan dihiris sedikit kulitnya bagi menggalak pengakaran. (Selalunya dibahagian ruas paling bawah).
4. Bahagian yang dihiris disapukan penggalak akar.
5. Sediakan medium (tanah) yg poros dan tidak bertakung air. Medium boleh digaul dgn baja jika mahu.
6.Isi medium ke dlm cup/polybag/pasu kecil.
7.Keratan ditanam didalam cup/polybag/pasu kecil.
8.Hujung keratan (bahagian atas yg tajam) disapukan 'sealant' bagi mengelakkan serangan kulat & kehilangan moisture.
Contoh Sealant atau Tree Dressing
9.Keratan disimpan didalam kotak polistrin & ditutup rapat. Jauh dari cahaya matahari. 

10.Jangan buka kotak polistrin dalam masa dua minggu.
Contoh Kotak Polistrin

Contoh Keratan Yang diletak di dalam Kotak Polistrin
11.Kebiasaan keratan akan berakar dalam masa 2-4 minggu dan boleh dikeluarkan apabila akar & pucuk telah mula kelihatan dan membesar.
12.Seterusnya biasakan anak pokok dgn perubahan cuaca sekeliling (hardening) dgn memberi pendedahan berperingkat kepada cahaya matahari. 
13.Pokok perlu disiram (renjis2) jika nampak layu.
14.Anak pokok yg berakar dan sudah kuat serta tahan dgn cahaya matahari boleh dipindah ke pasu lebih besar atau diatas tanah dan boleh mula diletak dibawah cahaya matahari.
Selamat mencuba!!


Saturday, March 03, 2018

Pemangkasan Pokok Tiin

Pemangkasan Pokok Tiin (Pruning)

Setelah 3 minggu dipangkas

Kepada mereka yang menanam pokok tiin di dalam pasu, aktiviti wajib yang perlu dilakukan setelah pokok semakin matang, tinggi dan telah menunjukkan tanda tiada perkembangan ialah melakukan pruning atau pemangkasan.  Pemangkasan yang dilakukan sebaiknya serendah yang mungkin untuk memastikan kestabilan pokok apabila membesar.


Terpulang kepada anda samada untuk menukar media yang sedia ada atau mengekalkannya sahaja.  

Setelah 4 minggu
Tujuan utama pruning ialah supaya cabang-cabang utama akan tumbuh semula dengan lebih subur dan menghasilkan buah yang lebih banyak.  

Selamat mencuba.


Sunday, February 25, 2018

Menyemai Keratan Pokok Tiin Paling Mudah (SIRI 1)

Menyemai Keratan Pokok Tiin Paling Mudah (SIRI 1)



Tidak lengkap menanam pokok tiin jika kita tidak pernah mencuba menyemai anak benih dalam bentuk keratan.  Dan dari pengalaman saya ianya adalah sangat mencabar keimanan dan sangat menguji tahap kesabaran kita.  Banyak modal dihabiskan untuk membeli keratan terutama keratan dari spesis yang rare.

Terdapat pelbagai cara untuk menanam keratan dan boleh dikatakan setiap otai mempunyai cara tersendiri untuk menyemai keratan.  Disini saya kongsikan pengalaman saya sendiri yang lebih kepada kaedah try and error.
1.Kenalpasti dahulu bahagian atas dan bahagian bawah keratan. Bahagian tajam, menunjukkan atas keratan.
Bahagian atas keratan hendaklah tajam  / runcing.
 
2.Bahagian bawah sekali keratan (dibawah ruas paling bawah) dihiris sedikit kulitnya bagi menggalak pengakaran.

Gambarajah Batang Pokok Tiin
 
3.Sediakan medium (tanah) yg poros dan tidak bertakung air. Medium boleh digaul dgn baja jika mahu.
4.Keratan ditanam didalam cup/polybag/pasu kecil dan diisi dengan medium.
Keratan BTM6 yang dicucuk terus kedalam tanah yang diisi di dalam polybag
 
5.Hasil tanaman tadi di letak dibawah tempat teduh yg jauh dari cahaya matahari.
6.Biasanya dibiar selama 3-4 minggu sebelum dipindah kepasu besar atau terus ditanam di tanah.

7.Seterusnya biasakan anak pokok dgn perubahan cuaca sekeliling (hardening) dgn memberi pendedahan berperingkat kepada cahaya matahari.

Nota : Kaedah ini memerlukan penggunaan keratan yg segar (fresh) yg baru dikerat seperti keratan yg baru dipotong yg berusia sehari dua..

Selamat mencuba!